Monday, May 11, 2009

Some news abaout Perak

1. PM bersedia bekerjasama dengan Pembangkang

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan parti pembangkang untuk menamatkan kemelut politik di Perak, tetapi ia tidak bermakna BN bersetuju membentuk kerajaan campuran.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata kerjasama itu lebih menjurus dalam konteks pentadbiran negara dan kedua-dua pihak saling hormat-menghormati serta sentiasa mematuhi undang-undang.

"Kerjasama tidak semestinya bererti kita buat kerajaan campuran, tidak semestinya bentuk itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk, yang penting sekali saling hormat-menghormati antara satu sama lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok Cawangan Umno Bahagian Pekan di sini, semalam.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kelmarin yang bersedia mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.


Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Pekan, berkata BN bersikap terbuka dan tidak mahu kekacauan di Perak berterusan.

"Kita mahu berkhidmat untuk rakyat semua kaum dan ini yang kita tekankan. Sebenarnya kalau kita semua ikut peraturan dan menghormati undang-undang, tidak ada kemelut.

"Tetapi apabila masing-masing nak menegakkan benang yang basah... itu yang jadi masalah seperti mana kita lihat pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini. Saya harap perkara ini tidak berulang lagi," katanya.

Mengenai keputusan Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) memecat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah kerana didakwa terbabit dalam politik wang, Najib berkata, beliau akan mengulas selepas mendapat laporan lengkap.

"Saya pun tahu selepas membaca akhbar," katanya yang enggan mengulas mengenai kedudukan Murugiah dalam Kabinet.

Kelmarin, Presiden PPP, Datuk M Kayveas, berkata pemecatan Murugiah yang juga Ahli Majlis Tertinggi parti itu, berkuat kuasa selepas pemilihan PPP pada 7 Jun depan.

Di TAIPING, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berharap Kit Siang jujur dan sedia menerangkan perkara sebenar yang menyebabkan kekecohan sidang DUN, Khamis lalu.

"Kit Siang tidak seharusnya bermain sentimen politik keterlaluan. Kit Siang mesti bersikap jujur dan menerangkan sesuatu yang benar dalam pertemuan dengan Perdana Menteri jika mahu mencari penyelesaian yang baik," katanya.

Zambry turut kecewa dengan laporan beberapa media yang mengelirukan berhubung isu kekecohan sidang DUN Perak.


2. Pas menyokong cadangan Perdana Menteri

KOTA BAHARU: Pas menyokong cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk bekerjasama dengan parti pembangkang dalam usaha menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa, berkata itu adalah antara langkah terbaik bagi mengelakkan kekeliruan rakyat dalam menangani isu berkenaan.

"Pas menyokong saranan Perdana Menteri itu dan ini adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku di Perak dan diharap semua pihak dapat bekerjasama dalam menyelesaikan isu berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan pihak pembangkang bagi mengatasi kemelut politik di Perak, namun ia bukanlah bermakna bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, sebelum itu yang telah menyatakan kesediaan untuk mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan krisis politik di Perak. - Bernama



3. Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah


DATUK Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meraikan kemenangan bersama penyokongnya selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan beliau Menteri Besar Perak yang sah. - Foto Bernama


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengisytiharkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, bukannya Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Keputusan itu dibacakan Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Datuk Abdul Aziz Abd Rahim, di sini, sebentar tadi.

Dalam keputusannya, Abdul Aziz berkata jawatan Menteri Besar Perak tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Artikel 16(6) Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dan undi tidak percaya terhadapnya hanya boleh dibuat ketika persidangan Dewan Undangan Negeri.


Nizar sebelum ini mengemukakan semakan kehakiman untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.


Bagaimanapun, keputusan itu masih belum muktamad kerana pihak yang kalah boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Mohammad Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Beliau turut memohon perisytiharan mahkamah, Zambry bukanlah Menteri Besar Perak dan tidak berhak menjawat jawatan itu.

Selain itu, Mohammad Nizar juga memohon mendapatkan takrif mengenai Perkara 16 (6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) sama ada jawatan Menteri Besar boleh dikosongkan.

Pada 6 Februari lalu, Zambry mengambil alih pucuk pimpinan negeri Perak selepas Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan 31 Adun berbanding 28 Adun bagi Pakatan Rakyat (PR).

Sokongan kepada BN bertambah selepas Jamaluddin Mohd Radzi (PKR-Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (PKR-Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) keluar parti masing-masing untuk menjadi Adun Bebas serta menyokong BN.



**
komen dari aku...huhu..nak gak komen2...
1. PM, Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan sikap yang positive dan matang sebagai PM dalam menghadapi kemelut di Perak.

2. Pihak Pas juga tidak mementingkan diri walaupun berita kemenangan Dato' Sri Nizar sebagai MB perak yang sah. Malah Pas lebih pentingkan Pembangunan Perak dan keselesaan rakyat.

3. Tahniah kepada Dato' Sri Nizar kerana sah sebagai MB Perak. Yang benar pasti menang. Pemimpin yang baik pasti disokong oleh rakyat. Lepas ni Dato' sri Nizar pasti menghadapi bayak masalah untuk membagunkan Perak yang sudah kucar kacir.. Diharap pemimpin harapan rakyat perak ini mampu memperbaiki keadaan Perak. aaminnn...

4. Aku tak banyak masa nak tulis banyak2 sekarang... lain kali la kita bercakna minda.. huhu... nak wat assginment.

salam muhibbah....

~naka~

No comments:

Post a Comment